Friday, 25 April 2008

HARGA BERAS DAN PETANI

Senyap-senyap harga beras melonjak naik pada 16 Apr 2008, tauke yang simpan beras senyum sakan sebab harga naik sampai 30 peratus tetapi pesawah sekarang mungkin terkilan dah tak ada stok padi dalam jelapang. Zaman aku kecik dulu, tahun 70an setiap rumah mesti ada jelapang atau pondok/kepuk menyimpan padi. Dulu orang kampung akan simpan sebahagian padi dituai di dalam jelapang dan akan hantar ke kilang padi untuk diproses jadi beras. Sebahagian atau 3 suku lagi dijual kepada peraih cina dan pada awal 80an dijual dikilang LPN (Lembaga Padi Negara) dan sekarang dikenali BERNAS (Beras Nasional). Evolusi pertanian ini mungkin disebabkan kerajaan meletakan bidang perindustrian ditempat utama pada tahun 80an disamping kemudahan teknologi pertanian yang menyebabkan petani mudah menuai hasil dan terus dipasarkan dari petak sawah lagi.

Kaedah Menanam dan Menuai Tahun 60an hingga 70an

Kenangan dan kaedah penanaman padi amat jauh berbeza, dulu sawah diusahakan dengan tulang empat kerat, dibantu oleh binatang dan gotong royong (pawah). Kerbau digunakan untuk membajak dengan peralatan seperti tenggiling, sisir dan tengala membajak dan sekarang diganti dengan jentera berenjin seperti kubota atau traktor. Penamanan padi pula guna tenaga wanita menggunakan peralatan kuku kambing atau tangan menyulam secara berkumpulan kadangkala mengambil masa sehingga berhari-hari. Semasa padi membesar ianya mengunakan air hujan sepenuhnya, jadi petani akan memastikan tanaman mengikut masa yang ditetapkan. Semasa padi membesar petani akan merumput, membaja dan meracun rumput. Waktu ini petani akan mendapat bekalan ikan dan burung ayam-ayam, sintar, pucung dari kawasan sawah sebagai makanan harian. Ikan-ikan bersaiz besar dan ianya tidak dijual seperti sekarang kerana semua orang mudah mendapatkannya dengan percuma tetapi sekarang harga ikan air tawar mencecah ke paras 10 ke 15 ringgit sekilo. Petani juga menanam padi pulut (sekitar sepenjuru) bagi memproses emping dan lengga sementara menunggu padang masak. Kebiasaanya keluarga dan jiran akan memasak dan menumbuk emping diwaktu malam dan sedap dimakan bersama kelapa parut atau digoreng kering bercli serta dijamu dengan kopi kampung. Apabila sampai musim menuai, pokok padi setinggi 4 kaki akan dituai mengunakan pisau mengerat, ketam padi dan dijadikan gemal atau kedap (empat ke enam rumpun pokok padi) dan diletakan di atas celah tunggul jerami. Waktu ini tong dan dipasang layar dan tangga di dalamnya untuk dibanting kedap bagi meleraikan padi dari tangkainya. Teknik memukul juga memerlukan kekuatan dan kemahiran yang tinggi agar tidak padi jatuh ditanah. Padi yang lerai akan dilonggokan disatu kawasan khas untuk proses membersihkan tangkai, sekam dan benda asing. Biasanya kerbau digunakan untuk mengangkut padi dari satu tong ke kawasan khas tersebut. Padi yang dilonggokkan akan dianginkan (waktu angin timur) samaada menggunakan nyiru dan mesin kipas mekanikal. Waktu ini suasana malam disawah dipenuhi lampu gasoline atau pelita minyak tanah atau karbait disebabkan longgokan padi perlu dijaga daripada mangsa pencuri (kawaq). Guni-guni padi disusun keliling dan dibina 'dangau' pondok sementara beralaskan jerami padi berbumbung langit atau jerami. Waktu ini anak muda menjadi pengawal atau penunggu. Padi-padi yang bersih akan diisi ke dalam guni dan dibawa balik kerumah menggunakan kerbau atau basikal tua.
Padi tersebut sekali lagi diloggokkan dibawah rumah (rumah dulu bertiang tinggi). Tiang tinggi sebab mudah keluar masuk simpan padi, peralatan sawah, dan mudah dijaga dan bebas dari kena hujan. Padi akan diangkut keluar dan dijemur sehingga kering dan dibersihkan sekalilagi dengan alat mekanikal. Kaedah tradisional menggantung nyiru berlubang saiz padi digantung ditiga batang kayu atau batang nipah berbentuk pyramid, tugas mengoyang nyiru ini dijalankan oleh wanita manakala lelaki akan mengangkat padi menggunakan bekas atau tin minyak tanah ke dalam nyiru. Kalau tiada angin siulan kecil akan dibuat untuk memanggil angin dan kaedah ini diganti dengan mesin pengayuh tangan atau basikal dengan kipas pelbagai saiz. Padi yang bersih dan kering akan diisi kedalam guni perut hijau (berat 100 kg atau lebih dan ianya dipadatkan menggunakan hentakan atau kayu panjang). Proses ini mengambil masa sehingga 1 ke 2 bulan. Peraih padi akan datang untuk menimbang mengunakan dacing panjang dengan dua orang menanggung padi yang diletakan di atas dua simpulan tali. Jumlah timbangan akan ditulis dengan kapur dan dicatatkan ke atas kertas. Kebiasaanya 1 relung mendapat hasil diantara 25 ke 35 guni. Bakinya dijemur kering dan dimasukan ke dalam jelapang untuk bekalan beras dan juga benih padi sehingga musim menuai akan datang (6 ke 8 bulan).
Padi yang ada juga akan dikeluarkan zakat dan dipanggil orang terlibat untuk menerima zakat padi begitu juga pekerja akan dibayar samada padi atau wang tunai. Urusan bayaran akan dibuat dengan peraih dengan menolak hutang tertunggak tanpa mengikut pasaran harga. Di atas desakan dan keperhatinan petani melalui persatuan petani (MADA), penubuhan LPN banyak membantu petani daripada lintah darat, begitu juga bank pertanian dimana semua urusan subsidi dan pinjaman boleh dibuat dengan lebih teratur.
PETANI MODEN
Kehidupan petani moden menyebabkan evolusi pertanian lebih kepada mengupah dan mengurus sawah dan tidak lagi mengerjakan ladang secara sepenuh masa. Petani sekarang mengupah pekerja dan mengunakan mesin baik dari penanaman, membaja, meracun, memungut hasil dan padi terus dihantar ke kilang. Bayaran juga dimasukan ke dalam akaun petani. Hasil tidak lagi dikira dengan jumlah guni tetapi di dalam kilo. Kesannya semua padi dijual dan petani membeli beras di kedai dan kesan dari ketiadaan stok simpanan (jelapang) menyebabkan petani yang menanam padi juga terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk membeli beras. Kalau dulu balik kampung dapat juga merasa keenakan beras baru yang lebih melekit dan banyak kanji. Kaedah zakat padi juga tidak dapat dilihat secara fizikal seperti dulu. Sekarang zakat pertanian dibayar dalam bentuk wang ringgit.
Begitulah kesan kenaikan harga beras bukan sahaja memeritkan orang ramai tetapi pesawah juga terlibat sama. Sepatutnya badan pengawal seperti BERNAS (Swasta) dan Kementerian Pertanian dapat menilai keadaan stok pasaran dunia dan memberi ruang kepada pesawah untuk menyimpan stok seterusnya mendapatkan hasil dari kesan kenaikan beras. Cerita Nabi Yusof wajar dijadikan teladan oleh pemimpin dan rakyat Malaysia beragama Islam. Wassalam

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive