Tuan Ibrahim Tuan Man, | 30 Ogos 2013 |
27hb Ogos baru berlalu, tarikh keramat yang mengimbau bagaimana kini usiaku semakin lanjut. 50 tahun lalu aku dilahirkan oleh ibu, Nik Hasanah binti Nik Mat, adik kepada Nik Aziz Nik Mat.
Ibu pernah menceritakan pengalaman bagaimana sewaktu mengandungkanku lebih kurang 3 bulan. Dia mengidam nak makan ubi kayu bakar, terasa sedap jugak. Ibu menceritakan bagaimana dia pada suatu petang hari berjalan ke rumah jiran yang kebetulan ada menanam ubi kayu yang agak luas. Untuk membeli beberapa puluh sen, rasanya tiada masalah sangat. Biasalah orang mengidam tak makan banyak, beliau terus ke rumah jiran tersebut. Bilamana sampai di hadapan rumah jiran ibu memberi salam, dan menjelaskan hajat untuk membeli ubi kayu (dalam 20 sen) sambil menceritakan rasa mengidam nak makan ubi kayu bakar. Masa itu 20 sen dah kira dapatlah seguni ubi kayu.
Tapi sayang tuan rumah menjawab: “Ubi kayu tidak dijual 20-30 sen, jual banyak sekali gus, sikit-sikit tak jual, maaf je lah ye….” Ibu sangat terasa hati dengan jawapan tersebut. Ingatkan dapat percuma, biasalah orang kampung kalau mengidam punya pasal, kita bagi sahaja. Tapi ibu merayu agar dia juallah sedikit, namun jawapannya tetap sama. Ibu terus pulang dalam keadaan sangat kecil hati dan rasa tersinggung dengan tindakan jiran itu.
Sambil balik ibu menceritakan ia mengadu dalam hati alangkah baiknya kalau Allah mengajar agar manusia insaf. Manusia boleh memiliki tanah, tapi yang mengeluarkan isi (hasil) adalah Allah. Kalaulah hujan turun, agaknya baru dia insaf… Bukanlah berdoa, tetapi hanya kerana rasa terkilan. Selepas solat Maghrib, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sehingga Subuh.
Keesokan hari bilamana hujan berhenti hampir 8.00 pagi, ibu membuka tingkap rumah. Didapati seluruh kawasan tanaman ubi ditenggelami air. Ubi kayu memang pantang tenggelam air, akan rosaklah ia.. Apabila ibu membuka pintu rumah, didapati ada beberapa ketul ubi kayu diletakkan di atas pelantar rumah. Maka dapatlah ibu makan ubi bakar, kuranglah rasa mengidamnya.
Itulah sedikit kisah waktu ku dalam kandungan. Masa tu manalah kita tahu. Kisah ini ibu ceritakan kepadaku bilamana beliau mengingatkanku jangan sombong dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nasihat itu masih tergiang-ngiang di telinga. Mengenang hari lahir ini teringat bagaimana seorang ibu menahan penderitaan di saat melahirkan kita. Semoga Allah sentiasa memelihara ibu, ayah dan semua sahabat seperjuangan.
UBI KAYU ZAMAN JEPUN, UBI KAYU SEKARANG DAH KOMERSIAL,Ini tulisan 3 tahun yang lalu. Sekadar berkongsi. Senyum.
No comments:
Post a Comment