PULASAN | Nasib baik demokrasi itu bisu
PULASAN | Dari Umno kita datang, kepada Umno kita pulang. Itu salah satu jenaka yang menyambut berita terangkatnya Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri kesembilan Malaysia.
Satu lagi jenaka yang tidak kurang meluas tularnya ialah betapa bertuahnya negara ini apabila selepas mengundi sekali, kita mendapat tiga perdana menteri yang berbeza dalam tempoh kurang dari empat tahun.
Demikianlah kita hidup dengan bahagia di negara tercinta. Dari semasa ke semasa rakyat dihiburkan dengan pelbagai jenaka yang membuat kita ketawa sehingga keluar air mata.
Sementara masih hangat ini, eloklah kita mengucapkan tahniah kepada papa Dafi itu atas rezeki yang murah untuk mereka.
Bukanlah sebelum ini rezeki mereka tidak mencurah-curah. Ada banyak kisah dan berita yang menceritakan betapa murahnya rezeki Ismail Sabri dan Dafi. Apa yang berlaku sekarang ialah rentetan kemurahan rezeki mereka saja.
Bermula dengan seorang ahli politik biasa, entah berapa ramai yang dapat melihat cerahnya bintang Ismail Sabri sejak awal. Berbanding tokoh-tokoh lain, bintang ahli parlimen Bera itu memang cepat bersinar cemerlang.
Menjadi ahli parlimen Umno, menjadi menteri, pernah menjadi ketua pembangkang seketika sebelum ditarik pula oleh Bersatu untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional (PN) adalah rezeki mudah Ismail Sabri.
Meniti anak tangga kuasa
Memanglah dia dan beberapa menteri lain istiqamah dengan kerajaan ketika Umno mendesak mereka meninggalkan Muhyiddin Yassin. Namun terbukti komitmen yang diberikan Ismail Sabri kepada PN itu tidak sia-sia.
Sebelum ini seorang lagi anak Pahang, Najib Razak, naik menjadi perdana menteri tanpa banyak cabaran di sepanjang laluan politiknya. Cabaran Najib hanya muncul selepas dia menjadi perdana menteri.
Berbanding anak perdana menteri kedua itu, rasanya Ismail Sabri punya laluan lebih selesa. Lihat saja betapa pantasnya langkah dia meniti anak-anak tangga kuasa. Tidak sampai dua bulan menjadi timbalan perdana menteri, Ismail Sabri sudah menjadi perdana menteri.
Cuma Ismail Sabri dan Dafi harus segera beringat, kata orang, benda yang cepat naik akan cepat pula turunnya - kecuali ada sesuatu faktor sokongan untuk memberikan stamina kepadanya. Tapi itulah, ia cuma cakap-cakap jenaka yang belum tentu menjadi realiti.
Di depan ada banyak dugaan menanti. Sama ada Ismail Sabri atau Umno, mereka tidak ada banyak masa untuk dimanfaatkan kerana masa sentiasa bergerak ke depan. Tidak lama lagi akan tiba masa pilihan raya umum (PRU).
Dalam keadaan sekarang "satu" memberi makna yang besar buat Ismail Sabri atau kerajaan. Angka 'keramat' 114 itu memang lebih besar daripada 111, tetapi ia tetap tidak cukup besar.
Kerajaan PN yang diterajui Ismail Sabri perlu bertindak pantas untuk menguruskan setiap isu yang timbul. Ya, kalau mengikut kata-kata Muhyiddin, kerajaan ini masih "kerajaan PN" yang sama seperti diasaskan ahli parlimen Pagoh itu.
Ismail Sabri hanya menjadi pemimpin kepada "kerajaan PN" tersebut.
Tentu Umno berasa puas atas kejayaan mereka mempertahankan kerajaan berkenaan di sebalik rasa marah dan rengsa mereka terhadap Muhyiddin sebelum ini.
Rakyat memang sejak awal terhibur dengan jenaka berkenaan.
Namun kerajaan juga harus beringat bahawa sama ada PN atau Umno BN, suara rakyat pada 2018 tidak pernah mengundi untuk mereka. Rakyat sudah bersuara dan memberikan mandat kepada gabungan lain melalui sistem demokrasi yang kononnya dijunjung oleh semua.
Pernah laku keras
Pada 2020 demokrasi itu dicacatkan oleh Langkah Sheraton. Andainya boleh digambarkan demokrasi berkenaan itu seumpama sebiji kek, Langkah Sheraton menjadikan ia rosak dan basi separuh.
Ia menjadi begitu kerana di atas kertas Bersatu - yang mendapat mandat melalui PH - menjadi kerajaan bersama parti-parti lain yang kalah.
Kini kek berkenaan seakan-akan tinggal satu per sembilan saja. Hal itu berlaku sebaik saja Umno - yang kalah itu - kembali ke tampuk kuasa hasil permuafakatan hampir semua parti yang sama-sama kalah.
Dan "muafakat" itu adalah suatu jenama yang pernah laku keras sebelum ini. Ia pernah menyebabkan air mata gembira mengalir membanjiri dewan di Ibu Pejabat Umno. kemudian ia menjadi dingin. Sekarang, ada petanda menunjukkan ia akan kembali hangat membara.
Bercakap tentang menang dan kalah, ada satu lagi isu yang akan selalu menghiburkan rakyat, iaitu kes-kes mahkamah berprofil tinggi. Ada kemungkinan ia akan berlanjutan sehingga selepas PRU15. Tetapi ada juga kemungkinan ia akan berakhir cepat dengan kesudahan yang dibayangkan orang ramai.
Secara jujur, apa yang berlaku itu mesti ditangani dengan bijak. Kita bimbang semakin ramai pihak yang kian kecewa lalu tidak lagi mempercayai demokrasi.
Politik yang dipancung demokrasinya tidaklah menjanjikan keuntungan buat sesiapa kecuali para diktator. Dalam keadaan begitu, di satu sisi akan ada penguasa yang amat berkuasa, dan di sisi yang bertentangan ialah kelompok yang kecewa.
Ia boleh menghanyutkan sesetengah orang kepada jalan yang sama-sama tidak pernah kita inginkan. Politik kekerasan kadang-kadang lahir daripada kekecewaan yang panjang.
Dan di tengah-tengah ialah rakyat yang terus 'ketawa' menyaksikan jenaka penguasa.
Di negara ini politik itu akan menjadi lebih lucu jika pada setahun dua lagi, Umno, Bersatu dan PAS akhirnya berada dalam kapal yang sama selepas mereka terpisah-pisah agak lama.
Rakyat bawahan yang selalu tersepit untuk meneruskan kehidupan serba rumit memang sedar, menjadi mangsa penipuan orang politik, itu biasa. Tapi ditipu berkali-kali dan pada skala besar-besaran, itu agak langka.
Di mata rakyat di depan mereka adalah satu lagi siri jenaka daripada sekumpulan badut yang berpakaian kemas, bergelar dan berjawatan besar. Mereka dikalahkan, tapi masih menang.
Dan di atas semua itu, badut-badut berkenaan dibayar gajinya oleh rakyat yang menolak mereka.
Nasib baik demokrasi itu makhluk yang tidak boleh bersuara. Jika tidak, jenuh juga kita terpaksa mendengar ia ketawa siang dan malam. Dekahnya akan menjadi lebih kuat apabila ia sedar, ramai yang sedang menanti-nanti untuk berpesta meraikan pesta mengundi tidak lama lagi.
Kalau anda terlepas...
Inisiatif sukarelawan PPV berbahasa asing 'kejutkan' migran
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
No comments:
Post a Comment