RMAF 50 Years Half Marathon 2008 Utusan Malaysia 21 Mei 2008)
Adakah anda ingin merasai pengalaman berlari di landasan lapangan terbang yang pertama di Malaysia? Jika anda seorang yang lasak, bertenaga serta gemarkan pengalaman yang mencabar, itulah yang bakal anda rasai sekiranya anda memutuskan untuk menyertai ‘RMAF 50 Years Half Marathon 2008’ yang akan diadakan pada 25 Mei 2008 Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Untuk maklumat, landasan terbang di Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah mencatatkan sejarahnya yang istimewa. Ini adalah kerana ia pernah digunakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum Lapangan Terbang Subang siap dibina untuk sektor penerbangan negara.
Di Pangkalan Udara ini, TUDM mula ditubuhkan dengan keanggotaan minimum serta sebuah pesawat 'Twin Pioneer'.Tahun demi tahun berlalu, TUDM terus berkembang maju, moden dan perkasa sejajar dengan pembangunan negara.Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh TUDM pada ketika ini, semuanya bermula dari penyerahan landasan tersebut.Disini jugalah negara memberi peluang kepada TUDM membuktikan kemampuannya untuk memulakan usaha dalam memperkasa pertahanan udara. TUDM amat menghargai sejarah penubuhan pangkalan tersebut, lantaran itulah TUDM amat berbesar hati jika masyarakat awam dapat bersama-sama menyertai Half Marathon.Sejajar dengan sambutan Jubli Emas TUDM yang akan disambut dengan penuh meriah pada 1 Jun 2008, pihak penganjur bertekad untuk mengaturkan Larian Half Marathon di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada beberapa acara sambutan yang dibuka kepada orang ramai.
Di samping itu, TUDM turut berhasrat untuk menggunakan medium ini bagi merapatkan hubungan di antara masyarakat awam dan TUDM. Mungkin selama ini pengguna lebuh raya Kuala Lumpur - Sungai Besi hanya mampu untuk melihat pangkalan berkenaan dari luar tetapi tidak pernah berpeluang untuk menjengah apakah yang terdapat di pangkalan tersebut memandangkan ia adalah kawasan larangan.Orang ramai wajar mengambil peluang tersebut untuk turut hadir sama ada sebagai peserta larian atau senamrobik mahupun sebagai penonton bagi memberikan sokongan moral kepada peserta larian.Larian Half Marathon ini juga bertujuan untuk membina sikap setiakawan di antara rakyat tanpa mengira bangsa dan usia dengan TUDM. Pihak penganjur turut berharap larian Half Marathon ini berupaya memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan melalui amalan kecergasan dan mengamalkan gaya hidup sihat.Penganjur juga berharap agar larian ini akan bertindak sebagai pendorong bukan sahaja kepada anggota tentera tetapi juga masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi mereka yang sering bersukan pihak penganjur turut berharap mereka akan menggunakan peluang ini untuk meneruskan hobi mereka
Turut akan mengambil tempat adalah acara senamrobik beramai-ramai serta pertunjukan Brass Band oleh Pancaragam TUDM.Larian tersebut akan dipertandingkan dalam 11 kategori, ini adalah membuka lebih banyak peluang kepada seluruh peringkat usia dan jantina.Penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai serta medal bagi pemenang larian.
Pengerusi Larian ‘RMAF 50 Years Half Marathon 2008’ Brig Jen Datuk Ackbal Abdul Samad ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi ‘RMAF 50 Years Half Marathon 2008’ baru-baru ini memberitahu bahawa TUDM amat prihatin dan sedar bahawa rakyat yang sihat, cerdas dan aktif adalah sumber paling utama dalam menggerakkan pertahanan negara.Bagi warga TUDM khasnya kecergasan tubuh badan sangat dititik beratkan, masyarakat umum mungkin tidak menyedari bahawa darjah kesihatan dan kecergasan seseorang anggota tentera turut diambil kira dalam menentukan peluang kenaikan pangkat dan kursus kerjaya.Lantaran itu, beliau berharap larian ini mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan warga TUDM malah seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia serta masyarakat setempat.
Justeru, beliau menyeru semua peringkat masyarakat agar mengambil bahagian dalam larian yang menawarkan kelainan, tidak seperti mana lazimnya acara larian marathon diadakan di negara ini.Apatah lagi permulaan larian tersebut akan dimulakan di atas landasan lapangan terbang pertama negara ini.Bagi pihak TUDM, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas bantuan dan kerjasama yang akan diberikan oleh Federal Territory Amateur Athletic Association (FTAAA) dalam usaha untuk merealisasikan hasrat TUDM bagi menjayakan larian tersebut.
TUDM juga amat berbesar hati serta berterima kasih di atas kesudian pihak-pihak penaja yang telah sudi tampil untuk menghulurkan sumbangan bagi penganjuran larian tersebut.Bagi peserta yang berminat untuk menyertai larian tersebut, borang penyertaan boleh didapati di kaunter penyertaan semasa Kuala Lumpur International Marathon, New Balance Run dan Bidor Half Marathon diadakan.Bagi siswa-siswi institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah yang berminat untuk menyertai larian tersebut, pihak penganjur menggalakkan agar penyertaan dibuat secara berkumpulan.Selain daripada itu peserta yang berminat juga boleh memuat turut borang tersebut dari laman sesawang dialamat www.mod.gov.my dan www.airforce.gov.my.
Apa lagi skot yang kuat marathon bolehlah ambil bahagian.