Thursday, 22 August 2013

SATU ANALISIS POLITIKUS DALAM POLITIK SEMASA

Dari posting asal Aspanalias.
Ramai pemimpin, penulis, penganalisa politik dan pelbagai lagi pertubuhan sehari dua ini bercakap mengenai kegagalan Najib dalam 100 hari pertama sejak memenangi pilihan raya lalu. PAS menyebut isu harga barangan yang melambung naik, tahap keselamatan membimbangkan dan hutang negara yang kini sudah mencapai tahap 68 peratus daripada KDNK negara, jika diambil kira hutang tanggungan ‘off-budget agencies’ negara.
Memang benar. Jika dipandang dari satu sudut negara kita daripada segi teknikalnya adalah sebuah negara yang di ambang kebankrapan. Sama ada ada pihak yang membenci pandangan ini, tidaklah menjadi hal kepada saya dan sesiapa yang sama seperti saya. Setelah memenangi pilihan raya sekali lagi pada 5 Mei lalu, Najib diintai segala perkembangan yang berlaku dalam 100 hari pertama pentadbiran beliau selepas mendapat mandat baru, walaupun dengan mandat lebih kecil.
Bagi saya adalah tidak adil untuk mengadili Najib hanya dalam 100 hari sahaja. Mana mungkin Najib boleh membuat dan menunjukkan prestasi dalam 100 hari. Najib diberikan beberapa tahun untuk menunjukkan kecekapannya mentadbir negara, tetapi tidak ada apa yang boleh dibanggakan selain berbelanja wang rakyat dengan begitu ‘lavish’ sekali.
Bagi pandangan saya jika di berikan masa 100 bulan atau 100 tahun sekali pun, keadaan negara kita akan bertambah buruk. Ia bukan kerana negara kita miskin atau negara kita sebuah negara yang buruk. Ia disebabkan pimpinan negara yang buruk dan kelakuan dan sikap kerajaan yang buruk serta kerana sikap ahli Umno yang selalu memberikan sokonagn kepada manusia bersikap buruk untuk menjadikan negara kita sebuah negara buruk.
Apabila semua ahli Umno selama ini memilih pimpinan yang mempunyai niat dan matlamat buruk maka buruklah hasilnya. Tetapi kebanyakan antara ahli dan pimpinan Umno tidak tahu mana satu baik dan mana yang buruk. Pimpinan Umno hari ini bukannya tidak mahu berbuat baik. Mereka kepingin sangat untuk melakukan kebaikan untuk rakyat. Masalah yang mereka hadapi, mereka tidak tahu mana buruk, mana baik.
Kenapa perkara seperti ini berlaku? Jawapannya ialah kerana kebanyakan pemimpin yang naik tangga kepimpinan itu naik melalui jalan buruk dan kotor. Kebanyakan pemimpin menaiki tangga kepimpinan Umno tergolong daripada mereka yang menumpukan tenaga dan pemikiran untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata, bukan untuk menawarkan tenaga dan usaha mereka untuk memimpin negara dan rakyat ke arah kemajuan.
Apabila parti sarat dengan ‘social climbers’, parti itu akan dipenuhi dengan mereka yang melakukan cara apa sekali pun untuk menjadi pemimpin, waima melalui pembayaran undi dan pembelian perasaan yang memilih. Itu sebabnya kita melihat dalam Umno terlihat pemimpin yang menawarkan diri kebanyakannya mereka yang tidak berkeyakinan untuk menang tanpa membeli undi. Maka terbentuklah budaya perwakilan atau ‘warlords’ dalam Umno yang diyakini boleh membawa undi menjadi perwakilan ‘premium’ dan mendapat jumlah wang banyak. Kesempatan dalam pemilihan ini diperguna perwakilan untuk mencari punca ‘rezeki’ melalui pemimpin bercita-cita tinggi tetapi tidak mempunyai kepimpinan.
Budaya ini adalah salah satu penyebab kenapa 100 hari pertama Najib selepas pilihan raya tidak berlaku apa-apa yang beliau janjikan kepada rakyat. Najib, pertamanya sudah tidak mampu untuk berfikir dengan tenang lagi kerana kedudukannya dalam Umno sebagai Presiden pun bukannya stabil sangat. Najib sedar yang di belakang beliau sudah ada gerakan untuk menjatuhkan beliau.
Ada pemimpin besar sama ada yang bersara dan belum bersara sedang berkempen dalam perjumpaan tertutup untuk mempengaruhi kedudukan Najib. Dalam pada itu ada desas desus mengatakan Najib mengambil langkah untuk menyambung nyawa politiknya dengan berunding dengan musuh dan seteru nombor satu beliau, Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan. Anwar pun sama, tidak berbunyi pun suaranya akhir-akhir ini dan tidak seperti sebelum pilihan raya lalu.
Jika perkara yang dispekulasikan ini benar, belum tahu lagi siapa yang mengelentung dan siapa yang kena kelentung. Anwar dikatakan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri satu dan yang Timbalan sekarang akan menjadi Timbalan kedua. Entahkan benar atau tidak berita ini tidak pula saya dapat pastikan. Itu sebabnya sama ada seseorang itu pemimpin besar BN atau Pakatan, mereka sama sahaja. Apabila mendapat peluang mereka akan lakukan dan mereka yang berpecah-pecah di bawah ini adalah cerita remeh bagi mereka.
Umno sekarang ditambah pula dengan didikan baru oleh Dr Mahathir seperti yang saya sebut dalam posting lalu. Umno itu benar parti yang tidak baik pada pandangan Dr Mahathir kerana rasuah dan salah laku pimpinan yang nyata. Tetapi orang Melayu mesti juga menyokong Umno. Orang Melayu khususnya ahli Umno sangat keliru sekarang ini.
Satu pihak ada agama yang dibawa oleh Nabi Mohamad supaya memerangi rasuah dan salah laku kepimpinan. Di sebelah sini pula ada pemimpin seperti Dr Mahathir menyeru ahli Umno jangan kisah dengan rasuah asalkan Umno itu kekal berkuasa untuk menjamin keselamatan rakyat dan orang Melayu. Kalau mengikut seruan Dr Mahathir orang Melayu walau ditindas oleh Umno, mereka (orang Melayu) mesti sokong Umno. Parti itu sahaja yang boleh menjamin masa depan mereka, kata Mahathir.
Justeru orang Melayu sengaja dikelirukan oleh pimpinan supaya tidak berdaya memilih dengan betul untuk kepentingan mereka yang berkuasa dan hampir dengan kuasa. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu berbuat apa-apa untuk menghidupkan kembali maruah orang Melayu.
Nabi Muhammad kata buat begini, Mahathir Mohamad pula kata buat begitu. Rakyat keliru dan terus dikelirukan. Pemutusnya buatlah apa yang masing-masing suka, tepuk dada tanyalah selera.
Pilihlah satu antara dua ajaran dan seruan yang ada di hadapan mereka. Mereka boleh memilih Nabi Muhamad (saw) atau Mahathir Mohamad (Tun). Saya seorang yang jahil segala-galanya tetapi saya memilih untuk berusaha mengikut seruan Muhamad (saw).
Seorang yang beragama dan bertuhan akan akur bahawa tiada pilihan selain dari memilih seruan dan anjuran Muhamad (saw). – aspanaliasnet.blogspot.com
- themalaysianinsider.com


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=81922:pilih-antara-seruan-nabi-muhamad-saw-atau-mahathir-mohamad-tun&Itemid=2#ixzz2chtfa37P
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive