Saban tahun Laporan Ketua Audit Negara pasti mendapat perhatian bahkan turut menjadi polemik besar dalam masyarakat. Apa tidaknya, setiap tahun kita disajikan dengan berita bagaimana pemborosan, ketirisan dan penyelewengan masih berlaku ke atas harta rakyat dan aset negara. 

Sepanjang minggu lalu, susah untuk mendapatkan reaksi positif daripada rakyat sama ada di media arus perdana mahupun media sosial seperti facebook, twitter dan blog. Kebanyakan rakyat melahirkan keresahan dan kemarahan terhadap pembaziran dan ketirisan yang berlaku dalam mengurus harta negara. 
Hakikatnya, penyimpangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan amat terkait dengan sikap segelintir penjawat awam yang mengkhianati amanah dan tanggungjawab dalam mengurus harta rakyat. 


Keghairahan mengaut keuntungan peribadi juga sering mendorong pelbagai tingkah dan olah yang tidak beretika sehingga membelakangkan prinsip serta sanggup menggadai masa depan bangsa dan negara. 

Ternyata untuk membina bangsa yang unggul tidak cukup sekadar memberikan ‘tongkat’ tetapi harus melandaskan pula dengan kekuatan rohaniah dan nilai etika yang murni. Dalam erti kata lain, pembinaan budaya pentadbiran kerajaan harus bertolak daripada pembinaan insan itu sendiri, khususnya sifat amanah. 

Krisis kepercayaan 

Amanah adalah satu daripada nilai dasar yang menjadi penentu kepada kesempurnaan iman. Lawan amanah ialah khianat atau pecah amanah. Ia antara akhlak orang munafik seperti sabda Rasulullah SAW: “Ada empat sifat orang munafik yang tulen, apabila diberi amanah dia khianati, apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila bermusuhan dia berlaku jahat.” (Muttafaqun’alaihi) 
Bangsa yang mengalami kegersangan nilai amanah akan segera ditimpa krisis kepercayaan. Tanpa kepercayaan pasti akan hancur apa juga bentuk perancangan mahupun dasar yang ingin direalisasikan. Hakikat inilah yang pernah diisyaratkan Rasulullah SAW bahawa apabila amanah sudah hilang, tunggu sahajalah saat kehan-curannya. Ketika ditanya, bagaimana amanah boleh hilang, Rasulullah SAW menjawab: “Apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak.” 

Yang dimaksudkan dengan kelayakan di sini pastilah bukan sekadar kepakaran dan kemahiran semata-mata, tetapi kewibawaan moral dan amanah. Ciri inilah yang jelas diperincikan al-Quran dalam menggariskan asas pemilihan seseorang untuk diberikan tanggungjawab dan amanah. 

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).” (al-Qasas: 26). 

Di sini dua kriteria penting yang digariskan al-Quran untuk memilih seseorang bagi diberikan amanah. Pertama ialah al-quwwah yang ditakrifkan sebagai kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Ia merujuk ruang lingkup tanggungjawab yang hendak diberikan. Umpamanya, jika amanah itu menyentuh urusan penyelenggaraan aset negara, maka al-Quwwah menuntut pemilihan orang yang mahir dan pakar dalam bidang pengurusan. 

Kedua, ialah al-amanah yang bermaksud bersikap amanah atau tanggungjawab. Ia berkait rapat dengan nilai ketakwaan yang seutuhnya kepada Allah SWT sehingga menumbuhkan perasaan takut untuk mengkhianati amanah tidak kira sama ada amanah yang menyentuh urusan makhluk dengan Penciptanya mahupun berkaitan dengan hal-ehwal sesama manusia. 

Utamakan keberkatan 

Kesedaran bahawa amanah wajib ditunaikan sebaik mungkin akan menumbuhkan pula rasa keterikatan dengan hukum dan nilai ketuhanan. Rezeki yang diperoleh dengan cara halal dan penuh amanah akan barakah. Sedang yang haram hasil kecurangan dan pengkhianatan kepada amanah hanya akan membawa padah. 

Seterusnya kesedaran bahawa rezeki sebagai amanah daripada Allah SWT akan melahirkan rasa tanggungjawab dalam membelanjakan harta. Setiap sen akan dibelanjakan dengan cara yang diredai Allah SWT dan bukan secara semberono hingga merugikan bangsa dan negara. 

Demi mewujudkan budaya kerja yang beramanah, agama harus dijiwai dan menyatu dalam setiap diri individu. Andainya nilai Islam dapat disalur dan disadur dalam budaya hidup masyarakat kita, kelak akan terhasillah suatu model budaya kerja Melayu-Islam yang sihat, unik dan dinamik. 

Model budaya kerja Melayu-Islam adalah budaya yang berpaksikan amanah, berintikan kasih sayang, prinsip persaudaraan, nilai kemanusiaan, musyawarah, gotong-royong, kesetiaan dan tanggungjawab sosial yang sememangnya menjadi asas syariat dalam fiqh muamalah Islam.