Friday, 30 November 2007

PERSIAPAN MEMASUKI RUMAH BARU

30 Nov 2007. Rumah baru bonda telah 85 peratus siap tinggal pemasangan pintu, sliding door dan pendawaian eletrik. Rumah dijangka dapat diduduki sebelum 14 Dis 2007. Sebagai persiapan awal rumah lama perlu dibersihkan sementara barang-barang lama yang perlu dibawa diasingkan. Rumah lama juga perlu dibaiki agar boleh disewakan. Rumah lama telah dibina selepas ayah berpindah balik ke KSS dari Jeniang dan telah membina rumah papan dan dapur serta pelantar dibina daripada buluh. Sewaktu kecil kami tinggal dirumah kecil dan aku masih ingat rumah kami dibaiki dengan pemberian rumah anjung daripada rumah datuk. Masa itu, kerja-kerja mengusung rumah semuanya dibuat secara gotong royong. pada tahun 1967 rumah kami dibaiki dengan menambah beranda dan dapur bawah. Di rumah tengah dibina kedai runcit. Pada waktu itu, rumah kami agak besar berbanding dengan rumah keluarga yang lain. Ayah waktu itu, dapat kerja dengan Jabatan Pertanian gaji hanya 70 ringgit, dan beliau ketempat kerja dengan menunggang basikal (basikal tua). Ayah rajin tanam sayur didepan rumah dan mengerjakan sawah datuk (4 relung). Suasana kampung waktu itu, nyaman dan dibelakang rumah penuh dengan belukar dan dibelakangnya pula sawah padi, kalau kami ke sawah kena melalui rumah datuk. Aku masih ingat arwah nenek, datuk ada bela kerbau dan kalau setiap pagi Abang E perah susu dan kami boleh minum susu kerbau asli. Dulu kerbau adalah jentera pembajak dan pengangkut hasil tanaman. Kami dulu berebut-rebut naik "anuk" selepas hasil padi diturunkan dibawah rumah (cerita lain kali).
Seingat aku pada tahun 1969 hingga ke 1972 beberapa kali rumah telah diubahsuai, pada tahun 1975 rumah anjung diruntuhkan dan dibina rumah papan yang besar, kalau tak silap kos waktu itu hampir mencecah 20 ribu dan pada tahun 1980an ke 90 an rumah diubahsuai dan ditambah rumah bawah. Sekarang selepas semua anak-anak mempunyai rumah sendiri, rumah anjung/atas tidak digunakan lagi. Rumah ini sekarang dah tidak didiami, kerana emak bergilir menginap dirumah anak-anak jadi keputusan membina rumah di Tandop seperti rumah taman akan lebih selesa dan selamat. Apa akan jadi rumah lama? rumah ini mungkin disewa atau dijalankan projek agar rumah tersebut tidak terus usang dan rosak. Aku dan adik membuat sekatan dibahagian bawah rumah dengan memindahkan barangan lama agar rumah dapat disewa dan menjadikan lebih selamat. Setelah hampir 3 hari mengemas masih banyak lagi kerja perlu dibuat terutamanya membaiki pintu, menganti lantai reput dan membersih sawang, almaklumlah rumah papan dimakan bubuk dan anai-anai.
Barang-barang rumah, seperti alamari, pinggan mangkuk dan peralatan dapur perlu diasingkan dan dikemaskan. Hanya barangan yang perlu di bawa. Barangan yang tiidak perlu dibuang. Hari ini kami membersihkan kawasan halaman dan belakang rumah, kawasan rumah sudah nampak bersih dan kemas. Kami memerlukan sekurangnya 2 ke 3 hari lagi untuk mengemas dan mengangkut barang-barang ke rumah baru. Barang-barang yang kurang diperlukan akan dibawa sekiranya diperlukan. Banyak barang-barang lama sayang nak dibuang, terutamanya pinggan mangkuk, kalau nak buat kenduri setakat 100 tetamu tiada masalah. Banyak besi buruk, plastik dan pakaian perlu dibuang dan kalau bawa ke rumah baru akan bersepah dan jadi sarang lipas/tikus dan cicak aje. Walau apa pun, susah juga nak buat keputusan membuang barangan lama, kalau dibuang bila perlu kena beli, pinjam dan berbagai lagi. Begitulah adatnya manusia, yang teringin dan namapak semua nak, bila dah ada tak tau nak guna, kadangkala tak pernah guna atau guna 2 ke 3 kali aje, lepas tu simpan (membazir, rosak dalam simpanan). Sebab itu, orang sekarang lebih suka buat kenduri secara sewaan/buffet kerana jangka masa panjang tak banyak barang terbuang. Orang barat Jepun dan Korea buat 'boot sales' atau jual bundle. Sekarang ini kita kena buat 'recycle' barang antara adik-beradik, jual ke kedai 'second hand', 'boot sales' ataupun derma kepada orang yang memerlukan. Wassalam

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive