Wednesday, 18 June 2008

IPTA pupus pelajar lelaki?

IPTA pupus pelajar lelaki?

Oleh AHMAD KAMIL MOHAMED (Utusan Malaysia 19 Jun 2008)

KE MANA perginya pelajar lelaki? Pertanyaan ini memang kerap saya lontarkan dalam semua kelas yang saya masuki pada setiap kali semester baru bermula. Soalan ini tidak dapat saya elak- kan kerana senario beginilah yang menangkap perhatian saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Umumnya, daripada sejumlah 30 pelajar di dalam sesebuah kelas misalnya, yang pasti 70 peratus pelajar perempuan dan selebihnya lelaki, malah ada ketikanya tiada pelajar lelaki langsung?

Dengan nada sinis dan nakal segelintir pelajar perempuan yang mendominasi bilangan pelajar dalam kelas pantas menjawab bahawa lelaki lebih bertumpu di pusat serenti. Namun, adakah itu jawapan sebenarnya. Mungkin ada sedikit kebenarannya justeru lelaki memang majoriti di sana.

Beberapa orang pelajar lelaki yang berat untuk bersetuju dengan pandangan nakal ini melahirkan rasa bosan dan tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan negara yang didakwanya tidak praktikal.

Sistem persekolahan bermula dari sekolah rendah yang disogokkan dengan 'belajar setakat hendak lulus periksa" se- lain daripada pembelajaran yang lebih tertumpu kepada membaca dan hafal dilihat tidak relevan dan tidak memenuhi minat mereka.

Kaedah pembelajaran lelaki sebenarnya lebih menjurus kepada hands on dan tidak setakat membaca dan menghafal yang seterusnya dimuntahkan dalam kertas jawapan peperiksaan. Selepas itu, dalam banyak keadaan apa yang dipelajari selama empat tahun di universiti sebenarnya tidak membantu langsung dalam pemilihan dan perkembangan kerjaya mereka.

Justeru itu, kebanyakan penuntut lelaki mencari jalan keluar dengan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajian di institusi lain seperti Institut Kemahiran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), politeknik dan sebagainya.

Ini disokong oleh fakta bahawa bilangan pelajar lelaki yang mengikuti pengajian vokasional atau teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili 60 peratus. Menyedari keadaan ini, Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya membina lebih banyak institusi serupa ini agar dapat memenuhi keperluan pelajar lelaki.

Bagaimanapun, ini tentunya berbeza dengan pelajar perempuan yang kelihatannya lebih berminat serta tekun untuk membaca dan menghafal segala fakta dan teori yang terkandung dalam buku teks. Walaupun dianggap kes terpencil, namun pelajar yang hebat dalam akademik tidak dinafikan banyak yang gagal dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembelajaran "kakaktua" ini bukanlah sesuai lagi dalam keadaan sekarang.

Apabila isu kekurangan penuntut lelaki di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini ditimbulkan sekali lagi oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sul tan Idris (UPSI), Prof. Dr. Aminah Ayob jurang perbezaan yang semakin melebar memang sudah dijangka kerana sejak tempoh lima tahun lalu, dominasi penuntut perempuan di IPTA memang sudah ketara.

Cuma apa yang lebih mengejutkan kini ialah trend penguasaan pelajar lelaki da lam bidang teknikal termasuk kejuruteraan di universiti awam kian merosot tetapi didominasi pula oleh pelajar perempuan. FenomenaFakta bahawa bilangan lelaki yang memang lebih sedikit berbanding perempuan di negara ini sekarang walaupun boleh diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada fenomena ini, faktor- faktor lain yang berkait rapat sewajarnya dikenal pasti dan seterusnya ditangani.

Meletakkan pelajar lelaki dalam kelompok yang bermasalah sosial tentunya tidak adil justeru bilangan mereka yang terbabit dalam jenayah dan penagihan dadah begitu kecil jika dibandingkan dengan penduduk negara ini yang berjumlah 26 juta orang.

Masalah keluarga yang kurang berkemampuan untuk membiayai pengajian universiti selain daripada tekad pelajar lelaki yang lebih cenderung untuk mencari pekerjaan bagi menanggung adik beradik yang lain juga turut menyumbang kepada keadaan ini.

Pandangan sebahagian besar ibu bapa bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukkan lebih masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Justeru itu anak-anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akademik dan tidak menghairankan jumlah mereka terus meningkat di universiti.

Malah ada pandangan yang menyatakan sistem meritokerasi yang di amalkan sejak beberapa tahun lalu menjadi punca kepada jurang yang semakin melebar ini. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik.

Membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPTA atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualti dan minat hanya akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti.

Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPTA. Persaingan secara sihat untuk mendapat tempat di mana-mana IPT harus diteruskan kalau kita mahu melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.

Namun begitu apa yang digusarkan ialah masalah ini jika dibiarkan berlarutan bakal melahirkan masalah ketidakseimbangan dari segi pekerjaan pula. Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku.

Suka tidak suka dan mahu tidak mahu satu hari nanti wanita yang berkerjaya tinggi akan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang lebih rendah taraf kerjayanya hatta termasuk mereka yang tidak bekerja.

Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah menjaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja. Fenomena ini telah pun berlaku sekarang walaupun kelihatannya tidak manis dan menyalahi adat.

Kalau tidak pun bilangan wanita yang berjawatan tinggi akan semakin ramai kekal bujang kerana tidak menemui lelaki yang setaraf dengan mereka dan fenomena ini sedang berlaku dengan pesatnya!

ADAKAH INI AKAN BERLAKU?

BAGAIMANA MENGATASINYA ADAKAH DIBIARKAN SEBAGAI KEADILAN YANG BERUSAHA KUAT BERJAYA DAN YANG LEMAH DIBIARKAN.

ADAKAH KITA INGIN MELIHAT LELAKI MENJADI MR MAMA?

WAJARKAH LELAKI PERLU DIBERI PELUANG DAN RUANG UNTUK BERSAING SECARA SIHAT DIBIDANG YANG DIMONOPOLI LELAKI SEPERTI JURURAWAT dan GURU.

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive