Tuesday 16 July 2013

PRK K BESUT,MORSI

Ahmad Lutfi Othman,15 Jul 2013
Kali ini, bulan ibadah penuh keampunan dan rahmat Ilahi,  agak terganggu. Madrasah Ramadan, yang menjanjikan seribu satu nikmat dan peluang memburu keredaan Allah, bertambah mencabar gugatannya. Mungkin saja oleh tragedi rampasan kuasa -- diikuti pembunuhan jemaah yang sedang solat  -- menjatuhkan Presiden Mesir yang dipilih secara demokratik dalam pilihan raya yang diakui bersih dan adil ketika krisis di Syria belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Tragis sekali mengenangkan siri tribulasi berterusan terhadap Ikhwanul Muslimin, pelopor gerakan Islam zaman moden, yang dianiayai hampir enam dekad.

(Saya pernah mengulas hal tersebut dalam kolum ini juga,  ketika kemenangan Morsi setahun lalu: "Segera saya teringat pengalaman pedih dan perit generasi awal Ikhwan ketika bersama elit tentera menumbangkan regim Raja Farouk. Mohamad Naguib dan Gamal Nasser bertindak mengkhianati sokongan Ikhwan, sehingga ramai pemimpin dan aktivisnya dipenjara, diseksa dan dibunuh. Prof Dr Redzuan Othman pernah membuat kajian khusus mengenai kegagalan Ikhwan dalam Revolusi Julai 1952, Nasser merencanakan drama pembunuhan ke atas dirinya semasa berucap di Iskandariah, pada 26 Oktober 1954. Penembaknya dikatakan anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan gerakan Islam itu. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.")

Di dalam negara, pilihan raya kecil Kuala Besut, yang menyaksikan bukan hanya persaingan di antara PAS dan Umno untuk mengisi kekosongan Adun, tetapi juga merakamkan pahit getir dua parti tersebut, dalam situasi kekuatan agak seimbang di Terengganu. Saya lebih tertarik untuk melihat apakah pengendalian proses PRK ini benar-benar telus, bersih dan adil -- daripada membincangkan siapa bakal pemenangnya --  dengan tumpuan bahawa ketempangannya bukan disebabkan pengundian berganda ataupun kertas undi yang dipalsukan. Tetapi isu besarnya adalah, apakah manipulasi media, penyalahgunaan jentera-kemudahan kerajaan dan rasuah politik masih berleluasa dan langsung tidak diberi perhatian serius oleh SPR? Secara peribadi, saya cuba mengelak daripada menimbulkan persoalan lazim yang selalu kita bangkitkan sepanjang 11 bulan lalu, termasuk mengenai hal-ehwal politik yang nampak memenatkan.

Kesempatan mendakap bulan Ramadan -- siapa tahu, mungkin ini kali terakhirnya, ya... perhatikan di sekeliling kita, tentu ada insan yang dekat dan bersama kita semasa puasa lalu, kini telah dipanggil Ilahi -- harus dimanfaatkan sepenuhnya, siang dan malam, pagi dan petang, agar setiap detik tarikan nafas tidak terbuang sia-sia. Ganjaran yang menanti sememangnya besar, namun yang dituntut adalah keredaan Ilahi, sehingga tercapai kenikmatan paling agung berada dekat di sisi-Nya. Maksud sabda Nabi s.a.w.: "Orang yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh harapan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." Bukan bererti kita mahu beruzlah bersendirian, tetapi Ramadan dapat mendidik dan membersihkan jiwa, melakukan pengabdian  setulusnya, memuja-muji Allah, berzikir, membaca dan menghayati makna al-Quran, beristighfar menyesali dosa-dosa menimbun (terutama di waktu sahur) dan masa yang sama memaafkan kesalahan orang lain, merapatkan silaturrahim, menyantuni golongan fakir dan  terpinggir, beriktikaf terutama pada sepuluh hari terakhir, bertarawikh, qiyamullail dan mengerjakan amalan-amalan sunat, mengikuti kuliah ilmu juga menekuni pembacaan, serta banyak lagi aktiviti ibadah lainnya. 

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Orang yang memberikan makanan untuk orang lain berbuka, dia akan memperolehi balasan seperti pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun."
Kesibukan dunia memang tiada penghujungnya dan seringkali pula mengelirukan, kalaupun tidak semestinya melalaikan. Ramadan sewajarnya melapangkan kita daripada rutin ketat seharian tanpa melupakan tanggungjawab untuk terus melakukan pembaikan buat umat. 

Ya, sepanjang sebulan berpuasa menuntut kita memperuntukkan masa eksklusif untuk bermuhasabah, merenung dan mengkoreksi diri, seikhlasnya intensif beribadah, dengan sasaran atau target yang lebih khusus, misalnya tentang khatam al-Quran dan memberi makan untuk iftar. Juga mengetuk kotak pemikiran saya bahawa kerja-kerja kebajikan harus diinstitusikan, bukan dibuat secara spontan di waktu Ramadan.

Sekilas menonton berita TV, semasa bersiap-siap untuk bertarawikh, hanya membuktikan bahawa media kita tidak pernah berubah, apatah lagi di waktu kritikal semasa kempen PRK. Sejurus Timbalan Perdana Menteri mengumumkan calon BN di Kuala Besut, yang dipamerkan hanyalah  sokongan mencurah-curah buatnya. Kempen ke seluruh negara -- walaupun yang akan mengundi hanya penduduk lokal -- bermula lebih awal daripada hari penamaan calon lagi.

Saya tidak perlu ditunjukkan bukti bagaimana dana awam dihanguskan untuk merasuah pengundi, sama ada dalam bentuk tunai mahupun limpahan projek segera (yang lebih menguntungkan kontraktor dan kroni pemerintah. Itu semua sudah tidak menjadi bahan berita; begitu juga jentera kerajaan, termasuk perisikan polis-tentera, yang dikerah ke sana. Walaupun agak lama tidak membeli akhbar-akhbar harian, seperti Utusan Malaysia dan BH, pagi tadi (Jumaat, 13 Julai), saya tertarik dengan tajuk muka 10 BH, "Bantuan sambut Ramadan", yang memaparkan gambar calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menyampaikan sumbangan Program Bakti Remaja, di Kampung Baru, Jertih. Seramai 2,300 remaja di kawasan Dun Kuala Besut menerima RM200 seorang; syaratnya mereka mestilah menjadi pemilih berdaftar dengan SPR, berpendapatan tetap tidak melebihi RM1,500 sebulan dan belum berkahwin. Apa pun justifikasi diberikan terhadap program berkenaan, seperti juga BR1M dahulu, saya cenderung untuk melihatnya sebagai rasuah politik yang ketara sewaktu kempen. Seperti juga  kes manipulasi media dan salahguna jentera-kemudahan kerajaan, SPRM dan SPR kehilangan taring bagi memastikan proses pilihan raya benar-benar bersih. Maaf, kerana menganggu Ramadan anda dengan isu-isu lapuk ini; agenda reformasi yang sepatutnya sudah lama diselesaikan!

(Sebenarnya saya lebih tersentuh dengan perkembangan di Mesir daripada Kuala Besut; mampukah penyokong Morsi bertahan di jalan-jalan raya, bagi mengembalikan pemerintahan rakyat yang dikhianati ini, atau aktivis Ikhwan akan menerima nasib sama, seperti dialami sepanjang 58 tahun lalu?)

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive