Tuesday 3 June 2008

Lawatan perkukuh hubungan dua negara

Utusan malaysia. Jun 2008

LEBIH kurang 40 hingga 50 tahun dahulu, Tanah Melayu (kini Malaysia) menghadapi ancaman hebat daripada pengganas komunis yang berhajat menubuhkan kerajaan di sini.

Pada waktu itu pula, negara ini masih lagi berada dalam fasa awal pasca merdeka.

Sebagai sebuah negara dengan pasukan tentera yang boleh dikatakan masih mentah, Tanah Melayu ketika itu menerima bantuan British serta beberapa negara Komanwel lain (Australia, New Zealand, Nepal, India dan Fiji) bagi menghadapi ancaman ‘bintang tiga’ berkenaan.

Kemudian, askar-askar dari negara sahabat di atas kekal di sini selepas pembentukan Malaysia bagi membantu negara menghadapi Konfrontasi dengan Indonesia pula.

Ternyata sumbangan veteran-veteran perang dari kesemua negara berkenaan tidak boleh dinafikan serta dipandang sepi.

Justeru, bagi menghargai mereka yang pernah berkhidmat di sini, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dalam lawatan kerjanya ke London berkesempatan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada golongan tersebut.

‘‘Tanpa kalian semua, perjalanan Malaysia dalam mencapai kemerdekaan dan kestabilan politik serta ekonomi seperti sekarang tentu lebih sukar. ‘‘Bagaimanapun, saya yakin dan bangga dengan pencapaian kita semua pada masa lalu kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berjaya menamatkan pemberontakan komunis,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian anugerah tersebut di London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Veteran-veteran perang yang yang terpilih menerima PJM terdiri daripada mereka yang berkhidmat di Malaysia antara 21 Ogos 1957 hingga 12 Ogos 1966.

Difahamkan, sebanyak 24,000 permohonan PJM telah diterima oleh kerajaan Malaysia dan setakat ini, separuh daripadanya telah dipenuhi.

Setakat ini Pejabat Penasihat Pertahanan telah mengagihkan PJM di 46 lokasi berbeza di seluruh United Kingdom sejak 19 Julai 2006 serta di Scotland, Ireland dan Sepanyol.

Veteran British yang layak dianugerahkan PJM dan belum menerimanya setakat ini berjumlah kira-kira 11,000 orang. Kesemua mereka berada berselerak di seluruh dunia (36 buah Negara) antaranya termasuklah Jerman, Perancis, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.

Selain upacara penyampaian PJM itu, Muhammad Ismail turut berkesempatan meninjau anggota-anggota Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di kota London.

Kompeni Istiadat 1 RAMD yang diketuai Mejar Mohd. Fuad Md Ghazali itu berada di sana bagi melaksanakan kawalan istiadat di beberapa kediaman rasmi Permaisuri Britain, Ratu Elizabeth II seperti di Istana Buckingham dan Istana St. James.

Selain itu, mereka turut bertanggungjawab mengawal Menara London dan Istana Windsor selama dua bulan bermula 17 April lalu hingga 16 Jun ini.

Muhammad Ismail memberitahu, penugasan yang dinamakan ‘London Public Duties’ itu memberi impak yang sangat berkesan dalam usaha mempromosikan negara kepada para pelancong asing.

‘‘Ini kerana kesemua tempat penugasan merupakan kawasan tumpuan ramai dan anggota tentera darat yang bertugas memakai pakaian istiadat memaparkan ciri-ciri Malaysia,” katanya.

1 RAMD turut mencuri tumpuan penduduk tempatan di London dan para pelancong asing ke sana dengan pancaragam pasukan itu yang memainkan lagu-lagu Melayu ketika berkawad ke perkarangan Istana Buckhingham untuk melaksanakan tugasan harian mereka.

Sememangnya apabila berada di bumi asing, rasa cinta pada tanah air semakin meluap-luap, apatah lagi bagi warga tentera yang telah bersumpah setia berkorban untuk Malaysia.

Justeru, kedatangan pemimpin teringgi perkhidmatan itu ke sana pasti menyuntik semangat mereka untuk terus ‘panas’ menghadapi persekitaran London yang terlalu berbeza daripada segi cuaca dan gaya hidup.

Pemimpin Tentera Darat itu turut berkesempatan melawat ke Akademi Tentera Diraja di Sandhurst dan Markas Medan Tentera Darat UK.

Pada lawatan kerja rasmi berkenaan, Muhammad Ismail mengakui pihaknya akan kembali menghantar pegawai-pegawai kadet Tentera Darat ke Sandhurst untuk mengikuti program latihan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Walaupun lawatan ini lebih kepada bersifat ketenteraan, namun secara politik dan diplomatiknya, ia turut membawa kebaikan kepada negara berdasarkan sejarah yang panjang antara Malaysia dan UK.

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive