Monday 14 January 2008

CERITA MASA KADET

Semalam 13 jan 2008, aku buka blog rakan lama Sdr Lokman bekas kadet (Skrg di TV9) bertajuk "Press Night" and "Mess Night". Kami sama-sama kat RMC Jun 1980 hingga Jun 1982 , masa dulu bilik skot depan bilik W.Kembang dan bersebelahan dengan Kenali, bilik aku pula tepi tangga line senior. Masa masuk dulu kami diberi satu bilik seorang dengan keluasan10 kaki x 15 kaki, siap dengan katil bujang, attach wardrobe, writing/reading table, dobi basket and towel hangger, bilik air "share" dan kain semua kena ampai di bawah belakang kantin. Setiap bilik kena beli karpet ikut kompeni dan cadar pula semestinya putih dan kalau hari cuti kena pasang cadar warna kompeni masing-masing.
Semasa masuk ke RMC Cadet Wing, aku tiada kenalan kecuali rakan semasa lulus No 1 Board di P.Pinang iaitu Sdr Nasir, Joseph, Md Din sama satu kompeni (Abdul Rahman), dan Mathaven (dah berhenti) adalah rakan yang dikenali, yang lain adalah asing bagi kami. Ini pula pertama kali (umur 19 tahun) aku menjejak kaki di KL Sg Besi. Sebelum bertolak aku membuat persiapan awal dengan bantuan ayah dan ibu, walaupun ibu tidak berapa setuju, beliau membuat persiapan dengan menyediakan bekalan makanan, aku masih ingat tali leher berwarna coklat dipinjam dari Pak Long Azizan depan rumah. Mana pernah pakai tali leher jadi kenalah buat latihan tapi tak juga pandai-pandai. Kami dikehendaki memakai baju warna putih, seluar hitam dan kasut/stokin hitam. Dari Alor Star aku mendapat kelayakan tempat duduk di Kelas Kedua, Semasa tiba di Stesen Keretaapi Kuala Lumpur (lama) kami dikumpulkan di satu sudut dengan notis Pegawai Kadet dilekatkan di ruang legar KTM. Pengalaman pertama juga menaiki trak 3 tan M benz dan aku tak pasti kemana dibawa sehingga lah kami sampai ke pintu pagar RMC, semua kepala terkijal-kijal melihat lanskap menarik seperti istana dengan pemandangan menarik berlatarbekang Bkt Besi dan Sand Dune. Dalam trak ada yang bercerita tentang kebengisan senior, jurulatih dan Mat Jo, mungkin mereka ini dapat maklumat dari rakan atau saudara-mara yang pernah belajar di RMC atau Kadet wing. Kami juga dapat maklumat ada yang datang naik bas, teksi kena turun diBalai Pengawal dan kena berjalan kaki ke Cadet Wing
Setibanya di RMC jam 10 pagi, kami dikumpulkan di Dewan Templar, dan diberikan taklimat oleh Jurulatih dan senior, rupa-rupanya kami adalah kumpulan orang awam yang terpilih manakala sebahagian lagi nampak 'confident' pula dari AFAAT dan Boys wing. Kami juga tak tahu dalam kelompok kami, ada 5 Kadet wanita pertama (Norisham, Norkhiah, Rozita, Azaliah and Fadzellette). Budak kampong seperti aku dan rakan-rakan lain masih terpinga-pinga dan sentiasa mematuhi arahan dengan penuh ikhlas dan tepat pada masanya. Selesai melapor, mengambil katil, tilam dan keperluan kami diasingkan mengikut kompeni dan dibawa kebilik penginapan 3 tingkat. Abdul Rahman Kompeni ditingkat satu, Alam Shah di tingkat dua dan Syed Putra di tingkat 3. Malam itu kami diberi taklimat dan keesokan harinya diberikan uniform tentera dan juga diukur pakaian dengan Tukang Jahit Mak Yu dan Mansoor tailor. Kasut wellington juga dibuat mengikut saiz kaki oleh Cobler. Aku rasakan seperti nak cabut balik sebab semuanya diurus sendiri dan mesti ikut perintah dan kalau lewat kena marah, lepas itu semakin lama semakin kuat hukuman dari tekan tubi pakai penumbuk, forward roll, lompat katak, pusing heli, starlight dan macam-macam punishment. Sepak, lempang, ketuk dah macam biasa. Nak lari balik tidak tahu arah tuju, lagi pula malu nak balik sebab alang-alang menyeluk pekasam biar ke pangkal lengan. Selepas jam 1800, senior pula ambil alih menjaga kami, kalau silap aje kena change parade, tornado, star light, kit inspection, cuci corridor. Masa makan juga kami kena tertib, makan mesti bersudu dan napkin, semua masakan dihidang oleh pelayan di dewan makan, pengalaman semasa makan kami kena halau keluar dari dewan sebab bunyi bising bercakap, sudu jatuh dan ada yang kena makan dibawah meja. Ada yang kena lari satu pusingan padang kawad jika ada kesalahan individu seperti pakaian tak betul, baju tak bergosok, datang lewat dll. Kadangkala kami kena makan tak sampai satu minit lepas tu kena berlari pulak. Semua ini kami lalui dengan tabah dan lama kelamaan kami memahami tentang disiplin, patuh arahan, hidup rejimental dan semangat setiakawan. Sikap saling membantu, menegur, memeriksa sesama kami sebelum diperiksa oleh senior atau jurulatih. kami juga baru memahami kalau jurulatih banyak membuat teguran kepada senior disebabkan kesalahan junior, senior akan dimarahi kerana gagal mengajar junior.
Selama satu tahun kami diawasi dan dibimbing oleh senior dan jurulatih. Kenangan padang pawai juga mengingatkan aku kepada cara berkawad, aku yang tak pernah diajar berkawad terpaksa mengikuti latihan tambahan dan kena ambil 2 kali ujian kawad. Hari minggu semua kawan yang lulus boleh relax, kami yang kawad kanan, kanan, kiri-kiri kena buat latihan tambahan. Sebelah malam kami selepas 'prep hours' kena cuci mess, meriam dan juga lobby sehingga jam 11 malam dengan pakaian seluar 'PT blue' bodoh dan baju hijau T berlubang/net dan pakai kasut putih dikiwi hitam. Pakaian fitik ini kena pakai hampir 3 bulan sebelum kami dibenarkan memakai baju T putih, seluar pendek putih dan berkasut putih. Sebulan aku tidak tahu hari bulan dan dunia luar, sehinggakan kami dipaksa oleh senior dan jurulatih menghantar surat ke kampung, senior akan pastikan kami tulis dan dipos oleh senior kepada keluarga kami. Setiap dari kami kena ada gambar ibu bapa dan girlfriend di dalam bilik, kalau tiada keana buat laporan bertulis, jadi gambar girlfriend aku gunakan gambar Maksu dan kakak semasa melawat Singapura Tahun 1978.
Pakaian makan malam dan prep kami dikehendaki memakai baju kelabu berjalur, seluar hitam dan kasut kerja. Pakaian ini juga dipakai bila keluar outing ke bandar dihujung minggu. Bayangkan kepala botak (bergunting pendek No 1), berkilat, bertali leher berkumpulan dan ada juga yang kena tangkap dengan senior sebab tukar pakaian diluar kem dan sekembalinya kami kena punishment dengan battle order. Kadangkala setiap malam, tetapi yang pastinya malam minggu kami kena "roll call" baris malam dan sampai jam 2 ke 3 pagi kena "change parade", masuk longkang, panjat tangga kadet wing dan adakalanya berjalan dalam longkang menyusup ke tempat merempuh halangan. Semua latihan dan deraan ini membuat kami lasak dan sentiasa melaksanakan dengan penuh tekanan tetapi lama kelamaan kami sudah pandai curi tulang. Ada rakan-rakan yang terselamat dengan helah MC, "attend", buat-buat pengsan, histeria dll cara agar dapat mengurangkan tekanan. Selama setahun, senior melatih, mendera kami dan saat senior tauliahlah menjadikan kami semua memahami erti tanggungjawab, accountability, role model kerana tahun berikutnya kami akan jadi senior. Senior TJT 20 hanya 23 orang sahaja, jadi kami dapat juga mengilat kerana jumlah kami paling ramai hampir 70 orang. Kami apabila menjadi senior, hanya 26 junior melapor, jadi hanya appointment kadet melibatkan diri melayan mereka, lagi pula pada tahun 1983 senior tidak dibenarkan lagi "ragging" menggangu junior kadet dan jika ditangkap akan dibuang dan dilucutkan dari latihan Pegawai Kadet.
Ini membuatkan junior kadet dan kadet tahun1983 ke atas kurang mesra dengan senior dan kurang semangat setiakawan. Sekarang kaedah ragging digantikan dengan program induksi, suaikenal dan tiada "body contact" seperti zaman tahun dahulunya. Kami juga kurang mendapat ragging dari senior (dilakukan secara diam dan tidak mencederakan) semasa memasuki perkhidmatan disebabkan campurtangan politik, dasar ATM yang lebih bersifat mendidik menggunakan kaedah mentoring, guidaince, kaunseling dan ianya beredar mengikut zaman. Dahulu sukan bola sepak, ragbi, merentas desa dan hoki adalah sukan wajib. Kalau dahulu ragging yang "sadists" adalah lebih kepada latihan membentuk kekuatan mental, saikologi, fitness dan keberanian untuk melawan komunis yang terkenal kejamnya. Bayangkanlah semasa meronda atau memburu komunis, rakan kena tembak, boby trap menyebabkan kehilangan nyawa dan anggota badan, kalau pegawai tidak diajar dan diberi keberanian adakah mampu mereka menjadi pegawai yang berani dan tenang?. Semasa dalam latihan diajar apabila ditawan musuh walaupun diugut bunuh, didera, dikelar hanya maklumat mengenai nama dan no tenetera sahaja dimaklumkan lain-lain maklumat diibaratkan biar pecah diperut jangan pecah dimulut, atau dalam masa latihan diajar dengan kata-kata semangat biar bermandi peluh jangan bermandi darah. Secara tidak langsung latihan yang berterusan, bebanan dan deraan semasa latihan memberi kekuatan dan membentuk peribadi seorang pegawai mengikut acuan yang ditetapkan. Bersambung........

No comments:

KEJAYAAN DAN KETENANGAN

"Kejayaan dimiliki tidak hadir sendiri tetapi ia datang dengan usaha, berdoa dan bertawakal"

"setiap yang kita impikan tidak selalunya indah, kesunyian mengajar erti hidup berdikari, Namun satu yang kita akan ingat seumur hidup, KENANGAN"

Blog Archive